Polis Tahan Dua Lelaki Aktif Pecah Rumah Di Timur Laut - Semasa | mStar

Polis Tahan Dua Lelaki Aktif Pecah Rumah Di Timur Laut

GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Timur Laut, dalam satu operasi cegah jenayah di Tanjung Tokong di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dua lelaki berusia 20 dan 30 tahun itu ditahan pada pukul 8 pagi di hadapan sebuah restoran selepas mereka berada dalam keadaan mencurigakan.

"Polis yang menjalankan operasi cegah jenayah telah menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berkenaan dan apabila anggota kita memperkenalkan diri sebagai polis mereka cuba melarikan diri.

"Berlaku pergelutan sebelum anggota polis berjaya menahan dua lelaki terbabit yang dipercayai baru memecah masuk sebuah rumah di Tanjung Tokong awal pagi tersebut," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki dua lelaki terbabit, polis menemui sebuah beg kecil berisi wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM3,500 dan sebuah beg galas yang berisi peralatan pecah rumah antaranya sebuah jek kereta serta alat pemotong.

Gan berkata siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Timur Laut sejak 2010 termasuk melibatkan tiga buah kediaman yang mengakibatkan kerugian RM229,500.

"Mereka menjalankan aktiviti itu berdua dan modus operandi ialah meninjau rumah yang tiada orang sebelum memecah masuk menggunakan jek dan alat pemotong," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati lelaki berusia 30 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah rumah manakala rakannya yang bekerja sebagai pemandu pelancong tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya mereka kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain