suria

Dipenjara 12 Tahun Jerut Leher Pelacur

SHAH ALAM: Seorang pelacur dan pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lagi pelacur yang dijerut di leher dengan selendangnya, empat tahun lepas.

Hakim Nurchaya Arshad memerintahkan V Mareiyama, 30, dan J Sanmugam, 31, menjalani hukuman itu berkuatkuasa daripada tarikh mereka ditangkap, iaitu Mareiyama pada 19 Julai 2008 dan Sanmugam pada 20 Julai 2008.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kematian L Kamala, 49, di rumah No: 41-3 Blok C, Jalan PJS 3/46, Taman Sri Manja, Petaling Jaya, kira-kira pukul 4 petang pada 16 Julai 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga didenda.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, selepas tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan kedua-dua tertuduh menukar pengakuan mereka kepada bersalah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian kedua-dua tertuduh telah pergi ke rumah Kamala bertujuan untuk menyamun mangsa di mana Mareiyama telah mengenali mangsa selama dua tahun semasa kedua-duanya bekerja sebagai pelacur di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Terdahulu, peguam Jagdish Kaur yang mewakili Mareiyama memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya terdorong melakukan perbuatan itu disebabkan tidak mempunyai pendapatan yang stabil.

Beliau berkata tertuduh juga tidak berniat untuk menyebabkan kematian mangsa dan hanya mengetahui mangsa telah meninggal dunia selepas dimaklumkan oleh pihak polis.

"Anak guam saya memohon supaya diberi peluang untuk kembali kepada tiga anaknya yang kini ditempatkan di rumah anak yatim dan dia juga berasa amat sedih serta menyesal atas kematian rakannya itu," katanya.

Peguam V.Rajehgopal yang mewakili Sanmugam juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang turut mempunyai tiga orang anak telah menerima hukumannya apabila masyarakat menggelarkan anak-anaknya 'keluarga banduan' manakala bapa tertuduh digelar 'bapa banduan'.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu dan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama. BERNAMA

Artikel Lain