suria

RM8 Juta Tunggakan Caj Perubatan Pekerja Asing Berjaya Dikutip - Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan berjaya mengutip tunggakan bayaran kos perubatan pekerja asing di hospital kerajaan sebanyak RM8 juta, semenjak tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jumlah itu dikutip hasil pelaksanaan skim kesihatan pekerja asing yang berkuat kuasa awal tahun lepas. "Tunggakan hutang perubatan pekerja asing yang ditanggung oleh negara sebelum skim itu dilaksanakan hampir mencecah RM20 juta. "Semenjak skim tersebut dilaksanakan, kementerian berjaya mengutip RM8 juta dan ia sedikit sebanyak berjaya mengurangkan jumlah tunggakan hutang oleh pekerja asing," katanya kepada pemberita pada Karnival Jalanan Pekerja Genting 2012 di Genting World Resort malam Jumaat. Skim Perubatan Pekerja Asing, yang dilaksanakan tahun lepas, mewajibkan semua pekerja asing di negara ini memiliki insurans kesihatan serendah RM120 setahun. Sementara itu, Genting World Resort meraikan lebih 13,000 pekerjanya dengan menganjurkan karnival berkonsep kekeluargaan. Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Genting Malaysia Berhad Datuk Anthony Yeo berkata karnival tiga hari yang bermula hari ini merupakan inisiatif syarikat bagi menghargai jasa pekerjanya. "Kami ingin meraikan pekerja kami yang begitu berdedikasi bagi menjadikan Genting sebagai satu kota keriangan yang menjadi sebutan warga tempatan dan pelancong," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain