suria

Pembangkang Main Isu Jenayah Bagi Kikis Keyakinan Rakyat Terhadap Kerajaan - Hishammuddin

KLUANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembangkang sentiasa memainkan isu kadar jenayah di negara ini bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Beliau berkata pembangkang mengambil kesempatan dengan isu yang mendapat perhatian serta menjadi kebimbangan orang ramai terutamanya kadar jenayah bagi meraih faedah politik.

"Kita akan yakinkan orang ramai bahawa tuduhan mereka (pembangkang) itu meleset dan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sembrong di Felda Ulu Belitong, di sini Sabtu.

Hishammuddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong, menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah mencari alasan tetapi sebaliknya membuktikan komitmen berterusan menerusi inisiatif yang diguna pakai bagi mengurangkan kadar jenayah di negara.

Katanya usaha kerajaan menangani jenayah di negara ini turut mendapat pujian pihak luar seperti Panel Bebas Antarabangsa yang dianggotai pakar dari Singapura, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menurutnya panel bebas antarabangsa itu memuji dan kagum dengan pendekataan yang dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain