suria

Skuad Sukarelawan Dilatih Untuk Bantuan Bencana Alam

KUALA LUMPUR: Satu pasukan khas elit sukarelawan bencana dan menyelamat menggunakan kenderaan pacuan empat roda ditubuhkan bertujuan untuk memberi khidmat semasa bencana alam, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu.

"Skuad sukarelawan akan ditubuhkan di bawah Yayasan Penyelamat Bencana Elit Malaysia bagi membantu orang awam semasa bencana seperti banjir dan gempa bumi yang berlaku di dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan pacuan empat roda pasukan itu pada Khamis.

Beliau berkata, semua anggotanya adalah terlatih secara profesional dan mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan perlu menjalani latihan sebelum membolehkan mereka menjadi anggota pasukan.

Gan turut berkata, kementerian telah menguruskan pendaftaran kira-kira 560,000 belia menerusi program iVolunteer setakat Jun dan menyasarkan untuk mendaftar sejuta belia menjelang akhir tahun.

Bercakap mengenai perkembangan lain, Gan berkata, Kerajaan juga akan menubuhkan Akademi Latihan Sukarelawan Malaysia bagi mengendalikan program-program sukarelawan dan melatih peserta.

“Susualan daripada Makmal Transformasi Pembangunan Belia yang dijalankan sejak 2010, kami menerima maklum balas dan cadangan untuk menubuhkan sebuah akademi bagi mewujudkan satu pengurusan kerja sukarelawan yang mapan dan sistematik,” tambahnya.

Beliau berkata, projek berkenaan sudah pun berada pada peringkat akhir dan kementerian telah mengenal pasti lokasi untuk akademi tersebut.

Gan, yang juga merupakan naib presiden MCA berkata, akademi itu akan turut dijadikan platform untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengendalikan kerja sukarelawan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain