suria

Polis Tahan Pemandu Teksi Disyaki Samun Rakyat Amerika

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi ditahan kerana disyaki menyamun seorang wanita rakyat Amerika Syarikat di Jalan Maarof, Bangsar, di sini Isnin lepas.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam Selasa berhampiran pusat beli belah Jusco, Puchong, kata Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

"Polis menemui semula wang tunai dipercayai kepunyaan mangsa berjumlah kira-kira RM4,000," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata dalam kejadian samun pada pukul 9 malam itu, wanita berusia 46 tahun itu baru mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) sebelum menahan teksi berhampiran sebuah pusat beli-belah di ibu negara untuk ke Jalan Maarof.

Pemandu teksi berusia 36 tahun itu dilapor menolak wanita berkenaan sebaik tiba di destinasi sebelum menyamun wang tunai RM20,000, telefon bimbit, kad kredit dan barangan berharga lain, katanya.

Wan Abdul Bari berkata lelaki terbabit kini ditahan reman sehingga 10 Julai bagi membantu siasatan dan polis percaya dengan tertangkapnya lelaki itu, beberapa kes samun yang disyaki melibatkan pemandu teksi berjaya diselesaikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain