suria

Pemimpin Setempat Diminta Kenal Pasti Golongan Perlu Bantuan JKM

KUALA PILAH: Pemimpin setempat seperti ketua kampung diminta mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing untuk dimaklum kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka yang memerlukan diberi pembelaan sewajarnya serta tidak terpinggir daripada perhatian kerajaan.

"Dengan turun padang ini akan membolehkan mereka mengesan golongan berkenaan dan seterusnya diberikan bantuan dengan segera. Mereka ini perlu dibantu untuk didaftarkan di JKM bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya setelah memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perasmian program Gempur Karisma 1Azam 2012, di sini Selasa.

Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata golongan memerlukan tidak perlu berasa malu untuk tampil mengemukakan masalah mereka kepada pemimpin setempat bagi memohon bantuan.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri Abdullah Hanapi berkata, seramai 752 penduduk di Parlimen Kuala Pilah menerima bantuan JKM hari ini melibatkan peruntukan berjumlah RM204,550.

Program ini merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam melaksanakan program bantuan kemasyarakatan secara holistik bagi meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat yang tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran negara. - BERNAMA

Artikel Lain