suria

Juruteknik Maut Dalam Kemalangan Di Dungun

DUNGUN: Seorang juruteknik maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu rakannya hilang kawalan dan terbalik di kilometer 66.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kuala Abang, Selasa.

Mohd Shukri Salleh, 29, yang berasal dari Selangor disahkan meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari ketika dalam perjalanan untuk rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi berkata mangsa yang cedera parah di kepala dan dada dihantar ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Iman Asnawi Arif, 26, terbabas sebelum melanggar pagar sebuah masjid lalu terbalik.

Pemandu berkenaan serta seorang lagi rakan, Mohd Faiz Syazwan Mahfud, 23, kedua-duanya berasal dari Teluk Intan, Perak cedera ringan.

Ketika kejadian kesemua mangsa yang bertugas sebagai juruteknik dengan sebuah syarikat yang beribupejabat di Kuala Lumpur dalam perjalanan untuk menyiapkan projek pembinaan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Rantau Abang, di sini. - BERNAMA

Artikel Lain