Pelajar Sekolah Jumpa Bayi Dibuang Tepi Semak - Semasa | mStar

Pelajar Sekolah Jumpa Bayi Dibuang Tepi Semak

KOTA BAHARU: Seorang pelajar sekolah tidak menyangka gumpalan kertas surat khabar berlumuran darah yang ditemuinya hari ini dalam perjalanan ke sekolah, mengandungi seorang bayi lelaki yang masih hidup.

Mohd Razif Zaid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas di sini berkata dia menemui bayi berkenaan dalam kertas surat khabar di tepi semak ketika berjalan ke sekolah bersama seorang rakan pukul 7.20 pagi.

"Saya bersama rakan terkejut apabila ternampak kertas surat khabar itu penuh dengan darah di tepi semak dan apabila mendekati melihat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di situ.

"Saya kemudian memberitahu pekerja kantin sekolah mengenainya sebelum dia (pekerja kantin) menghubungi polis untuk tindakan seterusnya," kata Mohd Razif kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Pelajar itu berkata, bayi itu masih bertali pusat dan tidak menangis.

"Saya nampak badan, kaki dan bahagian telinga bayi kemerahan, mungkin digigit semut akibat diletakkan di atas tanah. Ini kejadian pertama sepanjang tiga tahun saya bersekolah di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan susulan.

"Bayi seberat 2.25 kilogram itu berada dalam keadaan sihat dan aktif serta tidak mengalami sebarang kecacatan dan hanya kesan gigitan semut di badannya.

"Bayi itu mungkin dibuang di situ kira-kira pukul 7 pagi tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Polis masih mencari suspek yang terlibat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain