suria

BN Pulau Pinang Gesa Semak Semula Isu Penswastaan Pelabuhan

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menggesa kerajaan Persekutuan membawa semula isu penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada perhatian Majlis Ekonomi Negara (NEC) untuk semakan semula dan perbincangan.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata keputusan itu dibuat selepas BN Pulau Pinang mengadakan dialog dengan pemain industri mengenai penswastaan pelabuhan itu dan menurutnya maklum balas itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami juga akan menghantar delegasi untuk bertemu perdana menteri untuk menyampaikan kepada beliau pandangan-pandangan yang kami telah kumpulkan daripada pemain industri dan penduduk Pulau Pinang berhubung penswastaan pelabuhan itu," katanya pada sidang akhbar di sini, Isini.

Pelabuhan Pulau Pinang menjadi tumpuan baru-baru ini, ekoran kerajaan negeri Pulau Pinang membantah penswastaan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) kepada hartawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

Dilaporkan pada minggu lepas bahawa Seaport Terminal Sdn Bhd milik Syed Mokhtar memenangi bidaan untuk mengambil alih pengurusan PPSB menerusi penswastaan.

Teng berkata NEC patut melihat penswastaan itu daripada aspek kepentingan pelabuhan itu, seperti kecekapan, keperluan industri perkapalan, sentimen penduduk Pulau Pinang dan peranan pelabuhan itu dalam menawarkan perkhidmatan kepada golongan perniagaan di Pulau Pinang.

Ditanya sama ada keputusan itu sudah terlambat, Teng berkata: "Saya tidak fikir yang ianya sudah terlambat. Ia masih belum ditandatangani sepertimana menurut jawapan di Parlimen (Dewan Rakyat).

"Butirannya...saya tidak tahu kerana saya bukan anggota lembaga Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), PPSB atau Kementerian Pengangkutan," katanya.

Teng turut meminta kerajaan negeri supaya tidak mengelirukan rakyat dengan mencampur-adukkan isu status pelabuhan bebas dengan penswastaan pelabuhan itu kerana ia sebenarnya membabitkan antara struktur cukai dan operasi pelabuhan.

Katanya jawapan di Parlimen baru-baru ini hanya menyatakan konsep pelabuhan bebas tidak lagi wujud dan persoalan mengenai idea itu ditolak atau diketepikan adalah tidak timbul.

"Oleh yang demikian, persoalan untuk mengekalkan statusnya tidak lagi timbul. Ini kerana konsep itu tidak lagi wujud untuk terus diperjuangkan oleh B NPulau Pinang," katanya.

Sabtu lepas, Ketua Menteri Lim Guan Eng mendesak BN Pulau Pinang memohon maaf atas dakwaan cuba memperdayakan dengan berjanji untuk memberikan status pelabuhan bebas bagi memancing pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Malahan pakatan pembangkang, dalam respons segeranya, berkata mereka juga akan memberi Pulau Pinang status pelabuhan bebas jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya. Jika apa yang mereka katakan itu bukannya untuk memancing undi, (dengan itu) kenapa mesti apa yang kami dikatakan ditafsirkan sebagai untuk memancing undi?" kata Teng.

Katanya BN Pulau Pinang amat jelas dengan idea itu daripada hari pertama lagi sebagai sebahagian daripada perancangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai syurga pelancongan antarabangsa dan ia akan direalisasikan sebaik sahaja BN menerajui kerajaan negeri.

Mengenai pembangunan di lereng bukit, Teng menggesa kerajaan negeri untuk diklasifikasikan minit mengenai pembinaan dan perancangan 37 projek yang didakwa diluluskan oleh kerajaan (BN) sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan BN mempunyai dasar yang jelas iaitu pembangunan tidak boleh dilaksanakan di kawasan melebihi 35 meter atau 250 kaki. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain