suria

Kod Etika & Tatacara Jualan Langsung Kuatkuasa 1 Julai

KUALA LUMPUR: Kod etika dan tatacara jualan langsung yang bertujuan untuk meningkatkan amalan perniagaan beretika dalam industri jualan langsung di negara ini akan berkuatkuasa mulai 1 Julai ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan usaha yang dijalankan oleh kementerian bagi menjaga kepentingan bersama industri dan pengguna.

"Ia merupakan panduan kepada syarikat, pengedar tempatan termasuk syarikat asing yang menjalankan perniagaan jualan langsung di negara ini.

"Jika tidak mengamalkannya (secara beretika), mereka akan dikenakan tindakan mengikut jenis kesalahan seperti penggantungan lesen," katanya pada sidang media selepas melancarkan kod etika dan tatacara jualan langsung di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Daud Tahir, Presiden Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM), Frederick Ng dan Presiden Persatuan Edaran Terus Malaysia (MDDA), Datin Sylvia Koh.

Ismail Sabri berkata, kod etika dan tatacara jualan langsung akan menjadi medium industri dalam menuju ke arah pembangunan industri lebih holistik dan mapan.

"Untuk memastikan pelaksanaan kod etika dan tatacara jualan langsung dicapai, pemain industri jualan langsung perlu jujur dalam menjalankan urus niaga mereka," katanya.

Kod etika dan tatacara jualan langsung menekankan lima aspek utama iaitu terhadap pengguna, terhadap penjual langsung, antara syarikat, tanggungjawab syarikat dan penguatkuasaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kementerian menjangkakan nilai jualan industri jualan langsung sebanyak RM10 bilion pada tahun ini.

Menurut beliau, sasaran itu berikutan peningkatan jumlah jualan sektor berkenaan setiap tahun.

"Sehingga Mei tahun ini, jualan terkumpul oleh 169 daripada 558 syarikat yang berlesen sehingga 2011 telah mencecah RM5.3 bilion.

"Kementerian yakin nilai jualan industri jualan langsung mampu menyumbang sehingga RM10 bilion pada tahun ini," katanya.

Sehingga kini terdapat 564 syarikat yang masih aktif dan masih berlesen di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 39 syarikat antarabangsa diluluskan lesen bagi menjalankan aktiviti perniagaan jualan langsung di negara ini.

Artikel Lain