suria

Pengawal Keselamatan Cedera Ditembak Dalam Kejadian Samun

JOHOR BAHARU: Seorang pengawal keselamatan syarikat pengurup wang cedera akibat terkena lima das tembakan dalam kejadian samun di hadapan sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Datuk Sulaiman di sini malam Selasa.

Ketika kejadian pukul 8 malam itu, pengawal keselamatan berkenaan yang berumur lingkungan 40-an sedang mengiringi pengusaha syarikat pengurup wang itu ke kereta selepas premis tersebut ditutup. "Dipercayai dua lelaki yang bersenjatakan pistol terus melepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak 10 meter ke arah pengawal keselamatan terbabit sebelum mereka merampas beg galas berisi mata wang dolar Singapura yang dianggarkan bernilai RM100,000 dari pengusaha yang berumur 30-an itu.

"Pengawal keselamatan itu memiliki senapang patah, bagaimanapun dia tidak sempat membalas tembakan akibat kecederaan yang dihadapi," kata Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Ismail Yatim kepada pemberita pada Rabu.

Belau berkata kedua-dua penjenayah terbabit kemudiannya melarikan diri bersama seorang lagi rakan mereka yang menunggu di dalam sebuah kereta jenis Toyota Harrier.

Polis menemui sembilan kelongsong peluru di tempat kejadian dan sedang meneliti rakaman litar tertutup yang terdapat di kompleks membeli-belah itu.

Ismail berkata siasatan awal mempercayai ketiga-tiga penjenayah tersebut memakai topeng dan berumur lingkungan 30-an.

Pengusaha syarikat pengurup wang itu tidak menghadapi sebarang kecederaan manakala pengawal keselamatan berkenan sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain