suria

Dunia Amat Memerlukan Paradigma Baharu Penggunaan Tenaga - PM

KUALA LUMPUR: Dunia amat memerlukan paradigma baharu dalam pembangunan yang menggambarkan perubahan masa, iaitu peningkatan ketara dalam permintaan untuk barangan pengguna yang akan mempunyai kesan besar pada cara dunia menggunakan tenaga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata gas asli mempunyai peranan yang penting dalam paradigma baharu itu, mengekalkan pembangunan dan pada masa yang sama memisahkannya daripada peningkatan pelepasan.

"Kita tidak boleh membenarkan ekonomi baru muncul hari ini mengikut model sama "Berkembang Dahulu, Bersihkan Kemudian" yang telah diguna pakai oleh pihak industri pada peringkat yang lebih awal.

"Ia mungkin tidak boleh menjadi penyelesaian yang sempurna tetapi tanpa ragu-ragu antara yang terbaik yang kita ada hari ini, menawarkan pelepasan karbon terendah bagi semua bahan api fosil dan menghasilkan kurang daripada separuh karbon dioksida arang batu," kata beliau ketika merasmikan Persidangan Gas Sedunia (WGC) Ke-25 yang bertemakan, "Gas Mengekalkan Pertumbuhan Global", di sini.

Perdana Menteri berkata salah satu daripada hujah kukuh yang memihak kepada peningkatan penggunaan gas asli adalah hakikat bahawa faedah alam sekitar akan dirasai dengan segera.

Mengenai harga gas, Najib berkata harga tenaga yang cekap perlu dilihat dalam konteks pembaharuan ekonomi yang lebih luas dan mengikut urutannya pada pelaksanaannya.

"Ini akan menjana penampan yang mencukupi bagi pertumbuhan pendapatan yang seterusnya akan membolehkan penduduk lebih mudah menyerap harga tenaga kegunaan akhir yang lebih tinggi.

"Ini seterusnya akan membantu memastikan perubahan harga lebih mudah diterima oleh penduduk," kata beliau.

Najib juga menegaskan bahawa dunia sedang bergelut dengan kelembapan ekonomi dalam tiga tahun untuk kali kedua.

Melainkan jika lebih banyak langkah segera diambil untuk menangani kelemahan yang sistematik yang bertindak sebagai penghalang kepada pertumbuhan global yang berdikari, negara-negara akan terperangkap dalam tempoh yang berlarutan dalam senario ketidaktentuan ekonomi, kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata ekonomi dunia kekal lembap tiga tahun selepas krisis kewangan 2009 dan ketidaktentuan terus menahan permintaan dan menjejas pelaburan.

"Pembangunan baru-baru ini mengingatkan kita bahawa kita tidak lagi keluar dari masalah," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain