suria

Polis Pulau Pinang Tahan 21 Orang Terlibat Judi Haram

GEORGE TOWN: Polis menahan 21 lelaki dalam serbuan serentak di empat premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer tanpa lesen di Jalan Sungai Emas, Batu Ferringhi dekat sini, Ahad.

Jurucakap polis berkata polis turut menyita 65 unit komputer yang diubah suai bernilai hampir RM130,000 dan merampas wang tunai berjumlah RM1,556.

Beliau berkata kesemua premis terbabit telah beberapa kali diserbu dalam tempoh empat bulan tahun ini, namun masih berdegil menjalankan kegiatan tersebut.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada empat penjaga premis dan 17 pemain judi berumur antara 24 dan 50 tahun," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata kesemua premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya membenarkan pelanggan yang dikenali berjudi di situ.

'Ops Dadu' yang berakhir pada pukul 3 pagi itu melibatkan 23 anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan ada tangkapan dibuat berhubung kes tersebut.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pemain judi pula akan didakwa mengikut Seksyen 7 (2) akta yang sama dan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain