suria

Kerajaan BN Tidak Beza Kepentingan Kaum Di Malaysia - Ismail Sabri

BERA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang bukan sahaja tidak pernah memungkiri janji malah tidak membezakan kepentingan pelbagai kaum di negara ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini terbukti apabila kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di seluruh negara termasuk di kawasan Bera, tahun ini.

Katanya penantian lebih 40 tahun pelajar dan ibu bapa di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kemayan dan Ladang Menteri Triang Bera berakhir apabila bangunan baru yang dibina kerajaan sejak 2008 telah siap, membabitkan peruntukan lebih RM1.4 juta.

"Pelajar kedua-dua buah sekolah itu kini dapat belajar dengan selesa dengan pelbagai kemudahan yang disediakan sama seperti sekolah-sekolah lain," katanya ketika merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Menteri Triang Bera, di sini, Ahad.

Sehubungan itu, Ismail Sabri, yang juga Anggota Parlimen Bera, menggesa rakyat di negara ini supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka dan meningkatkan pembangunan negara. - BERNAMA

Artikel Lain