Penjenayah Ditembak Mati Selepas Larikan Kenderaan Polis - Semasa | mStar

Penjenayah Ditembak Mati Selepas Larikan Kenderaan Polis

KUANTAN: Seorang penjenayah yang melarikan kenderaan polis ditembak mati dalam satu kejadian tembak menembak di Km249.2 dekat Jabor, di sini, Sabtu.

Suspek, Chiang Hon Hing, 39, berasal dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur mati akibat terkena tembakan di perut.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata suspek sebelum itu bertindak melarikan kenderaan anggota peronda trafik Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di jalan susur masuk ke tol Lanchang menghala ke Kuantan.

"Kira-kira 1.10 pagi, dua anggota peronda trafik LPT telah membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek yang berhenti di tepi jalan susur masuk tol Lanchang menghala ke Kuantan.

"Semasa pemeriksaan, tiba-tiba suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis berkenaan tetapi tidak mengenai anggota peronda terbabit," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata suspek kemudiannya melarikan kenderaan polis itu manakala sebuah lagi kereta peronda LPT yang melalui kawasan berkenaan bertindak mengejar suspek yang menghala ke Kuantan.

"Sampai di KM 113.6, suspek telah berhenti di tepi LPT dan menyamun sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua lelaki. Kedua-dua lelaki berkenaan tidak dicederakan," katanya.

Sharifuddin berkata suspek terus melarikan diri sehingga ke Tol Jabor dan apabila ternampak sekatan jalan raya di situ, dia bertindak berpatah balik menghala ke arah Kuala Lumpur.

Katanya apabila tiba di KM 249.2 dekat Jabor, suspek memberhentikan kenderaannya yang dipercayai mengalami kerosakan dan ketika diperiksa oleh anggota peronda trafik LPT, dia bertindak melepaskan tembakan yang mengenai tangan kanan Lans Koperal Mohd Jarizan Md Jid.

"Polis berjaya menembak mangsa di bahagian perutnya dan disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (HTAA)," katanya.

Beliau berkata polis turut menemui sepucuk pistol jenis Baretta, yang digunakan suspek dalam kejadian berbalas tembakan itu.

"Siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes jenayah sebelum ini seperti curi kereta dan dadah. Kereta jenis Honda yang digunakan suspek di Lanchang itu juga adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang malam tadi," katanya.

Sementara itu, Mohd Jarizan ketika ditemui di HTAA berkata dia bersyukur kerana selamat dalam kejadian tembak menembak itu. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain