suria

Penarikan Diri Dong Zong Tidak Jejaskan Jawatankuasa Khas - TPM

MUAR: Keputusan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) menarik diri daripada jawatankuasa khas mengatasi kekurangan guru di sekolah rendah Cina tidak akan menjejaskan tugas jawatankuasa itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan Dong Zong itu tidak memberi apa-apa kesan kerana jawatankuasa itu turut dianggotai empat atau lima badan pendidikan Cina yang lain.

"Tak apa (tindakan Dong Zong menarik diri daripada jawatankuasa). Jikalau Dong Zong tak ada, ia boleh membantu menyelesaikan masalah. Jikalau dia (Dong Zong) ada, ia mengusutkan lagi masalah," katanya kepada pemberita di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian sebagai mengulas keputusan Dong Zong menarik diri daripada jawatankuasa khas kementerian bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah Cina.

Katanya usaha mengatasi kekurangan guru itu melibatkan latihan berpanjangan guru dan ini memakan masa yang lama sehingga tahun 2018, tetapi kementerian mahu mengatasinya dengan cepat.

Terdahulu, Muhyiddin menghadiri sambutan Hari Keluarga syarikat Leong Hup di Kompleks Sukan Pagoh.

Ditanya sama ada tindakan Dong Zong itu bermotifkan politik, beliau berkata memang dari dahulu tindakan badan itu berbaur politik.

Bagaimanapun, katanya perkara sama ada tindakan badan pendidikan Cina itu bermotif politik atau sebaliknya, tidak penting kerana matlamat kementerian mahu memartabatkan pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata setiap tahun kementerian membelanjakan RM2.8 bilion untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan RM1.09 bilion untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Beliau berkata kementerian bukan sahaja berusaha untuk menyelesaikan masalah di sekolah Cina, tetapi juga di sekolah Tamil dan Kebangsaan yang turut mempunyai pelbagai masalah. -BERNAMA

Artikel Lain