suria

UUM Diarah Bayar RM3.7 Juta Kepada Syarikat Khidmat Luar - Mahkamah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini Khamis mengarahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) membayar kira-kira RM3.7 juta kepada KIC Management Sdn Bhd kerana melanggar perjanjian khidmat luar bagi sebuah program sarjana dengan syarikat itu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Azman Husin juga mengarahkan KIC Management membayar RM200,000 sebagai tuntutan balas oleh universiti itu.

Jumlah tersebut sebagai tunggakan bayaran atas kegagalan syarikat itu membayar yuran pengajian untuk pensyarah UUM dan royaliti kepada pelajar serta yuran profesional seperti dipersetujui dalam Memorandum Perjanjian (MoA) bertarikh 1 September 2008.

Dalam pernyataan tuntutan pada 8 Ogos 2010, KIC Management mendakwa UUM menamatkan MoA dengan syarikat itu bagi menjalankan program pasca Siswazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bermula 1 Jun 2009.

Syarikat itu mendakwa mengikut MoA yang ditandatangani dengan UUM pada 1 September 2008, UUM bersetuju untuk memberi khidmat luar program MBA kepada syarikat itu manakala syarikat itu akan menyediakan prasarana dan peserta program tersebut di satu fakulti yang dimiliki dan disediakan oleh syarikat itu dan/atau wakilnya di Kulim, Kedah.

Mengikut perjanjian itu, UUM bersetuju bahawa KIC Management akan terus mengendalikan program Eksekutif Sarjana Pentabdiran Perniagaan bagi tempoh lima tahun bermula 1 September 2008 hingga 31 Ogos 2013.

Bagaimanapun, UUM melalui surat bertarikh 18 Mei 2009 telah menamatkan perjanjian tersebut berkuasa 1 Jun tahun yang sama tanpa mematuhi terma-terma perjanjian tersebut.

KIC Management menyatakan bahawa penamatan kontrak itu adalah pramatang dan melanggar dua klausa perjanjian iaitu MoA boleh ditamatkan oleh mana-mana satu pihak dengan memberi notis bertulis sekurang-kurang enam bulan dan MoA hanya boleh ditamatkan sebaik penyelesaian pengambilan terbaharu pelajar progarm itu.

KIC Management berkata, tindakan UUM itu menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian dan kehilangan yang besar iaitu RM424,860 bagi baki yuran pelajar yang masih belum menamatkan pengajian dan RM3.27 juta bagi kehilangan keuntungan/pendapatan untuk baki tempoh perjanjian dari 1 Jun 2009 hingga 31 Ogos 2013.

Justeru itu, syarikat itu menuntut RM424,860 bagi kehilangan baki yuran itu, RM3.27 juta bagi kehilangan keuntungan/pendapatan, faedah statutori pada kadar lapan peratus setahun atas jumlah dua tuntutan itu dan kos serta lain-lain relief yang diarahkan mahkamah.

KIC Management diwakili peguam C.V. Devan manakala UUM oleh Nadzarin Nordin. - BERNAMA

Artikel Lain