suria

Pekerja Ladang Warga Indonesia Mati Ditetak Rakan

BELURAN: Seorang pekerja ladang warga Indonesia mati ditetak oleh rakan sekerjanya dalam satu pergaduhan di Ladang Kelapa Sawit Laukin IOI di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Beluran, DSP V. Sivanathan berkata mangsa dikenali sebagai Indra yang ditemui mati dengan kesan beberapa tetakan, di tepi jalan ladang itu oleh pekerja ladang kira-kira pukul 9 malam.

Katanya laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh Penolong Pengurus Ladang berkenaan kira-kira 11 malam.

Menurutnya polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan menjumpai mayat mangsa dengan kesan beberapa tetakan di bahagian belakang badan, bahu, pipi dan leher.

Sivanathan berkata siasatan di tempat kejadian menemui kesan pergelutan tetapi tidak menemui senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu.

Beliau berkata polis sedang memburu rakan sekerja mangsa yang berusia lingkungan 20-an, yang melarikan diri selepas kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain