suria

Empat Pengawal Keselamatan Ditahan Curi Kabel

BALIK PULAU: Empat pengawal keselamatan di tapak pembinaan sebuah kilang di sini didapati mencuri kabel elektrik di tapak tersebut.

Kegiatan mereka dikesan oleh anggota polis yang sedang meronda di kawasan itu di Kampung Jawa, Bayan Lepas kira-kira 3.50 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata kesemua suspek berusia 27 hingga 48 tahun itu ditahan ketika sedang memunggah beberapa gelung kabel yang masih belum dipasang dan memasukkannya ke dalam kereta," katanya kepada pemberita di sini.

Hatta berkata keempat-empat lelaki terbabit didapati menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas dan menjualnya di Seberang Perai.

"Siasatan juga mendapati salah seorang daripada suspek pernah terlibat dalam tiga kes samun dan pernah dikenakan hukuman buang daerah," katanya.

Beliau berkata gelung kabel itu dianggar bernilai RM20,000.

Dua buah kereta turut disita. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Dalam kes berasingan, dua beradik yang pakar mencuri dan melerai komponen motosikal ditahan di Sungai Ara, Bayan Lepas pagi semalam.

Hatta berkata hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu, mereka yang berusia 22 tahun dan 16 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi di sebuah bengkel ketika sedang meleraikan motosikal yang baru dicuri.

"Remaja berusia 16 tahun itu sebenarnya masih dalam jaminan polis kerana pernah ditahan sebanyak dua kali atas kesalahan sama," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau penjara atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain