suria

Dua Lelaki Diberkas Sejam Selepas Samun Peneroka

JERANTUT: Dua lelaki diberkas polis kira-kira sejam selepas menyamun seorang peneroka Felda di Kampung Kelola, Batu Lega dekat Pulau Tawar di sini, awal pagi Jumaat.

Tiga lagi suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri apabila kereta yang dinaiki mereka dihalang sepasukan polis, kira-kira tiga kilometer selepas menyamun rumah mangsa.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, seorang peneroka berusia 50 tahun kerugian hampir RM10,000 apabila lima lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an yang bersenjatakan parang serta pisau memasuki rumahnya.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintenden Azid Ismail berkata mangsa turut cedera di tangan akibat torehan pisau selepas bergelut dengan suspek terbabit.

"Mangsa dan isterinya kemudian diikat dengan wayar kipas sebelum suspek bertindak menggeledah rumah mereka.

"Semua suspek melarikan diri bersama barangan kemas, telefon bimbit, jam tangan, seluar jeans yang baru dibeli serta wang tunai RM850, dan nilai kerugian hampir RM10,000," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Azid berkata suspek dipercayai memasuki rumah mangsa dengan mengumpil pintu belakang.

"Hasil tindakan pantas polis selepas dimaklumkan berhubung kejadian itu (oleh mangsa selepas berjaya melepaskan diri daripada ikatan), dua daripada tiga suspek berjaya diberkas kira-kira sejam kemudian.

"Pihak polis turut menemui dua bilah parang dan pisau toreh getah di dalam kereta suspek," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang suspek berasal dari Johor Baharu manakala yang lain warga asing yang pernah bekerja di Pulau Tawar tiga tahun lepas.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis kini memburu suspek yang masih bebas. -BERNAMA

Artikel Lain