suria

Semakan Kehakiman Lima Pelajar Cabar Keputusan Kuin Dibenarkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) untuk mencabar keputusan kolej itu yang menggantung pengajian mereka selepas didapati bersalah melakukan kesalahan tatatertib.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dalam penghakimannya berkata keputusan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar Kuin perlu dibatalkan kerana ia adalah melampaui kuasa (ultra vires) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

Mohd Faiz Mohd Arshad, 25, Muhamad Aiman Che Abdul Razab, 23, Mohd Azlan Mat Zain, 32, Ahmad Remi Mohd Arof, 25, dan Zulkhilatiff Marzukhi, 26, memfailkan permohonan itu pada 15 Ogos 2011 di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka mendakwa pada 26 Mei 2011, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar telah memutuskan mereka bersalah melakukan kesalahan tatatertib dan keputusan itu dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar pada 6 Julai 2011.

Keputusan jawatankuasa itu juga menyebabkan Mohd Faiz digantung pengajian dan semua kemudahan kolej selama dua semester manakala rakannya yang lain digantung pengajian selama satu semester.

Kelima-kelima pelajar memohon deklarasi bahawa kaedah Kuin (Tatatertib Pelajar) 2007 adalah melampaui kuasa (ultra vires) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

Mereka juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau serta perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Karpal Singh dan Murshidah Mustafa mewakili Kuin manakala Azahana Mohd Khairudin mewakili lima pelajar berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan mereka digantung pengajian kerana terlibat dalam demonstrasi membantah tindakan pihak pengurusan kolej mengambil bangunan asrama untuk dijadikan Sekolah Bestari Insan. - BERNAMA

Artikel Lain