suria

PM Harap Masyarakat India Akan Terus Maju

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berharap untuk melihat status dan kebajikan masyarakat India di negara ini terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri berkata, beliau juga mahu melihat masyarakat India disepadukan sepenuhnya dalam arus perdana pembangunan ekonomi negara.

"Saya berharap dalam tempoh lima tahun (akan datang), kita akan melihat peningkatan di kalangan kaum India," katanya semasa ditemu bual deejay, Aanantha dan Uthaya dalam 'Breakfast Show' mereka yang dinamakan "Kalakal Kaalai", melalui radio THR Raaga.

"Seperti yang anda tahu, sasaran kita ialah bagi menggandakan tahap pendapatan menjelang 2020, pada asasnya kira-kira US$15,000 perkapita," Najib memberitahu para pendengar.

"Kami menyasarkan yang lebih baik dan lebih baik, dan kami akan tunaikan apa yang telah kami dijanjikan.

Menjawab satu soalan daripada seorang pendengar, Najib berkata, kerajaan telah mencapai banyak kemajuan untuk masyarakat India sepanjang dua tahun lepas dan merupakan satu pengiktirafan yang lebih besar dan kesedaran tentang masalah masyarakat India.

Beliau berkata, pendekatan-pendekatan baru diambil dalam mengiktiraf dan menangani masalah-masalah itu dan ia dimulakan semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet berhubung Hal Ehwal Masyarakat India.

"Beberapa perkara yang dilaksanakan termasuk peruntukan bagi sekolah-sekolah Tamil, di mana ia merupakan (peruntukan) terbesar dalam sejarah kita.

"Sebagai contoh, keputusan terbaru, (menyediakan) 1,000 tempat tambahan dalam kolej-kolej matrikulasi kita bermula tahun ini. Sebelum ini, ia hanya 500," katanya.

Najib berkata, perkara ini adalah sangat ketara kerana peratusan kaum India memasuki universiti-universiti agak rendah dan beliau berharap ia akan sampai kepada satu tahap yang boleh diterima.

"Saya juga mengumumkan bahawa 100 pelajar terbaik kaum India akan diberikan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat sarjana dan Phd," katanya.

Ketika ditanya deejay stesen radio Tamil yang popular itu mengenai perkataan Tamil yang beliau tahu, Najib berkata, beliau mempunyai pengetahuan yang asas seperti orang lain dalam bahasa tersebut tetapi beliau berkembang dengan sendiri apabila memperkenalkan gagasan 1Malaysia.

"Saya perlu berfikir apa itu 1Malaysia dalam bahasa Tamil. Jadi saya belajar "Ore Malaysia" (bermaksud 1Malaysia). Apabila saya mula berhubung dengan masyarakat India dan hubungan itu menjadi sangat kerap, saya belajar perkataan-perkataan lain seperti "Nambike", yang membawa maksud kepercayaan.

"Anda tahu, anda perlu mempunyai kepercayaan daripada masyarakat itu, supaya kita dapat terus bergerak bersama-sama. Apabila saya pergi ke Pusat Sri Murugan (SMC), saya dengar sebahagian daripada slogan mereka "Acchamillai" yang bermaksud, tidak ada kebimbangan, kita mesti mengatasi sebarang halangan untuk berjaya.

"Apabila saya melancarkan konvensyen Barisan Nasional, saya gunakan ungkapan Tamil, yang merupakan satu peribahasa yang bermaksud, untuk memberi mereka rasa bahawa ini adalah satu pasukan yang menang. Jika pasukan ini tidak boleh menang, pasukan lain tidak boleh menang dan saya suka untuk belajar lebih lagi," katanya.

Menjawab soalan daripada seorang pemanggil mengenai cabaran utama yang dihadapi setiap hari sebagai seorang Perdana Menteri, Najib berkata, terdapat banyak cabaran tetapi pengurusan masa adalah sangat penting memandangkan banyak permintaan yang perlu dipenuhi.

"Anda hanya perlu mampu memberi keutamaan dan mampu menghadapi pelbagai permintaan berhubung masa anda, dari segi penampilan, dari segi berada di pejabat, dari segi orang yang mahu melihat anda dan cuba untuk mendapatkan dalam sehari jumlah maksimum kerja yang boleh dilakukan dan keputusan yang boleh dicapai," katanya.

Najib berkata, beliau mahu memastikan segala-galanya boleh diterjemahkan dari segi kerja yang produktif walaupun dalam politik ia tidak berfungsi cara sedemikian.

Beliau juga berkata, ibadat melakukan senaman dengan kerap dan melakukan perkara-perkara yang benar-benar dinikmatinya seperti menonton perlawanan bola sepak dan membaca sebuah buku yang baik merupakan cara beliau mengatasi tekanan setiap hari.

Najib yang berkongsi tip bagi menangani masalah berkata, perkara paling penting adalah bagi menghalang apa jua yang menyusahkan apabila berada di rumah terutama apabila hendak tidur.

"Jangan bawa masalah-masalah dalam pejabat ke rumah dan cari perkara-perkara yang boleh menenangkan dan letakkan fikiran anda dalam keadaan santai," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak lama lagi antara Manchester United dan Manchester City pada 30 April, Najib yang merupakan penyokong kuat pasukan "The Red Devils", berkata, ia merupakan satu perlawanan yang sengit kerana "The Citizen" merupakan satu pasukan yang baik.

Mengenai perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah antara Chelsea dan Bayern Munich, beliau berkata, perlawanan itu juga merupakan satu pertemuan yang sengit.

Dalam rancangan itu, Perdana Menteri juga mengambil bahagian dalam "Battle of the Sexes", satu pertandingan dalam program itu yang memerlukan peserta, lelaki dan wanita, menjawab soalan-soalan dan bersaing dengan deejay dalam segmen kuiz mengenai bola sepak. - BERNAMA

Artikel Lain