suria

Ugut Isteri: Doktor Mengaku Tidak Bersalah

PETALING JAYA: Seorang doktor klinik swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Selasa atas pertuduhan mengugut isterinya yang juga seorang doktor.

E.Jaya Suresh Naidu, 31, didakwa mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap L.Parameswari, 29, di No. 25 Jalan SS 19/6U, Subang Jaya, pada 8.30 malam 24 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membenarkan Jaya Suresh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei untuk sebutan kes. Pada 28 Februari lepas, Jaya Suresh juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan mencederakan isterinya dengan menggunakan tangan dan kaki di tempat berlainan iaitu di No. 29, Jalan SS19/6U, Subang Jaya, pada 12.30 tengah hari pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam R.Murugan mewakili tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain