suria

Wartawan Perlu Buat Liputan, Bukan Nak 'Hadap' Nasi Kenduri Kahwin

BEBERAPAhari kebelakangan ini berlaku dua perkara kecoh. Pertama, drama Zed Zaidi mempertikaikan kemenangan Aaron Aziz, rakyat Singapura sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian-2011 (ABPBH-2011) pada 8 April lalu.

Keduanya heboh pula kisah artis-artis kita yang nak naik pelamin, bertunang, kahwin tak mengaku dan sebagainya.

Dunia hiburan kita tak akan meriah kalau peristiwa-peristiwa seperti ini tidak terjadi.

Baru-baru ini seseorang bertanyakan kepada saya, ada atau tidak menerima jemputan perkahwinan artis?

Saya beritahu, sepanjang minggu lalu sahaja ada tiga jemputan kahwin yang saya terima tetapi hanya satu sahaja yang dapat saya hadir. Itu pun kerana kawan baik sendiri yang naik pelamin.

Malah Danny (X-Factor) yang saya kenal sejak dia berusia 18 tahun lagi turut jemput saya ke majlis resepsi persandingannya tetapi saya tidak dapat datang.

Tetapi kawan saya itu terus bertanya bagaimana jika artis popular yang kahwin sedangkan saya tidak dijemput? Adakah saya akan datang?

Jawapannya mudah sahaja. Tugas sebagai seorang wartawan dibayar gaji oleh syarikatnya untuk mendapatkan berita. Sama ada dijemput atau tidak, wartawan perlu pergi ke sesuatu lokasi itu untuk memperoleh berita mengenainya.

Berbalik kepada kisah artis kahwin itu, saya memberitahu, jika saya ditugaskan untuk ke majlis berkenaan walaupun tidak dijemput, saya akan pergi kerana ia adalah sebahagian daripada tugas saya sebagai wartawan.

Saya mahu mendapatkan berita dan bukannya untuk mengambil bunga telur yang dicucuk di tepi pelamin.

Orang itu bertanya lagi. Tak malukah datang ke majlis orang tanpa jemputan?

Tidak ada istilah malu apabila bergelar wartawan kerana sesiapa yang mahu menjadi wartawan perlulah seorang yang tidak tahu malu dan kuat mentalnya.

Wartawan tak perlu mengharap untuk dilayan seperti raja kerana wartawan adalah manusia biasa yang kerja makan gaji.

Soal dijemput atau tidak ia adalah faktor kedua kerana apa yang lebih penting berita yang hendak dilaporkan dan bukannya sepinggan nasi minyak kenduri kahwin.

Begitu juga dalam konteks kewartawanan jenayah, mahkamah ataupun politik yang juga berhadapan dengan situasi serupa.

Malah wartawan berkenaan berhadapan dengan cabaran yang lebih tinggi apabila dihalau serta dimaki hamun oleh pihak-pihak tertentu tetapi mereka akan tersenyum gembira sekiranya membawa pulang dengan berita yang besar nilainya.

Mana-mana wartawan yang tidak dijemput ke sesebuah majlis, anda boleh pergi membuat liputan tetapi perlu diingat haram hukumnya kalau kita menikmati makanan yang dihidangkan jika kita bukan jemputannya.

Saya percaya, wartawan di negara ini dibayar gaji besar dengan serba serbi elaun dan mereka tidak akan mati kebuluran jika tidak menikmati nasi kenduri kahwin.

NIEZAM: Terkejut mendapat berita ada artis menangis apabila bekas kekasih dikebas rakan artis sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Lain