suria

PDRM Dekati Pelajar IPT Sebagai Usaha Turun Kadar Jenayah - Ismail

SABAK BERNAM: Semua ketua polis negeri diminta menganjurkan program mendekati golongan pelajar di instituti pengajian tinggi (IPT) di negeri masing-masing, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Katanya, langkah itu bertujuan merapatkan hubungan antara polis dengan pelajar dalam usaha memberi golongan muda pendedahan mengenai tugas, amanah dan tanggungjawab pasukan keselamatan itu.

Katanya, pihaknya sedang memperhebatkan lagi usaha mengurangkan kadar jenayah hingga mencapai sasaran Bidang keberhasilan Utama Negara (NKRA) termasuk mendekati golongan siswa di institusi pengajian tinggi.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kepolisan Kampus di Politeknik Sultan Idris Shah di Sungai Lang di sini, Jumaat.

Sempena dengan program itu yang dihadiri oleh 5,000 pelajar, sebuah pameran senjata dan peralatan polis serta demonstrasi perlawanan polo dan paragliding turut diadakan.

Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam penggunaan internet berikutan banyak jenayah komersil dilakukan menerusinya.

Selain itu, fitnah dan berita kurang tepat mudah disebarkan menerusi internet mahupun sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cek bernilai RM3,000 seorang kepada 200 orang bekas pengawal kampung di Sabak Bernam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain