suria

Polis Rampas 289 Kain Rentang Iklan Pinjaman Ah Long

MELAKA: Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam rangkaian penipuan pemberi pinjaman wang 'Ah Long' ditahan dalam satu operasi bersepadu, di sini, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supritendan Soh Hock Sing berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 24 dan 28 tahun itu ditahan sedang memasang iklan pinjaman tidak berlesen di kawasan perumahan di Taman Pulau Gadong, di sini pada pukul 10.30 pagi.

Beliau berkata dalam operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu, pihaknya turut merampas 289 keping iklan itu di dalam sebuah kereta. "Kita percaya kumpulan ini sedang mula bertapak dan baru beberapa bulan aktif menjalankan aktiviti ini," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, polis percaya dapat mengawal rangkaian sindiket Ah Long yang semakin berleluasa di Melaka. Dalam perkembangan lain, Soh menasihatkan orang ramai di Melaka terutama juruwang supaya berhati-hati dengan taktik sepasang rakyat asing bersama seorang kanak-kanak yang memperdaya dan mencuri wang di kaunter pembayaran di kompleks membeli-belah.

Beliau berkata pasangan itu akan membeli barangan dengan harga yang murah dan membayarnya dengan wang RM50. "Pada masa sama seorang daripadanya akan meminta juruwang menunjukkan rupa wang RM100 dengan alasan tidak pernah melihatnya," katanya.

Beliau berkata dua kes telah dilaporkan di kompleks membeli-belah Dataran Pahlawan pada 28 Mac lepas dan Mahkota Parade dua hari lepas dengan suspek berjaya melarikan wang berjumlah RM250 dan RM1,050. -BERNAMA

Artikel Lain