suria

Lelaki Terselamat Kereta Menjunam Ke Selat Tebrau

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki terselamat, sempat keluar dan berenang ke tebing apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam laut Selat Tebrau, berdekatan Tambak Johor, di sini, Rabu.

Mohd Amin Miran, 31, dari Pekan Nenas, Pontian, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kenderaan yang dipandunya itu dipercayai hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah bas lalu melanggar tembok konkrit sebelum terjunam ke dalam laut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Baharu, M.Vijayan ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi dan menghantar pasukan seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Baharu termasuk tujuh anggota dari unit skuba.

Dua kren digunakan bagi mengangkat dan mengeluarkan kereta yang tenggelam kira-kira tiga meter ke dasar laut, katanya. Vijayan berkata operasi berkenaan memakan masa kira-kira dua jam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain