suria

SMM Sepatutnya Guna Saluran Betul Untuk Suarakan Tuntutan

MELAKA: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan tuntutan mereka dan bukannya dengan mengadakan demonstrasi yang hanya akan mengganggu-gugat keamanan dan kesejahteraan orang awam.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kebanyakan universiti juga mempunyai sudut pidato untuk membolehkan mahasiswa menyuarakan pendapat mereka.

"Tak perlu menganggu-gugat perniagaan, trafik dan lain-lain hanya nak menunjuk kepada media asing bahawa ada isu nak didemonstrasikan," katanya pemberita selepas menutup seminar Badan Pengurusan Bersama (JMB) Program Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, Isnin.

Raja Nong Chik mengulas cadangan SMM mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka di ibu negara pada 14 April ini bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, katanya kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi memantau dan mengawal demonstrasi itu nanti supaya tidak mengganggu majoriti rakyat di ibu negara yang cintakan keamanan.

Mengenai tuntutan pemansuhan pinjaman berkenaan, Raja Nong Chik berkata mahasiswa sepatutnya mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menjelaskan pinjaman bagi membolehkan pelajar lain menikmati kemudahan itu.

"Kalau dah di peringkat pelajar pun dah mula tidak membayar (hutang), esok mereka sewa rumah DBKL dia tidak bayar, kad kredit pun tak bayar, ini jadi satu sikap yang negatif," katanya.

Mengenai kenyataan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang beliau merupakan calon paling sesuai untuk merampas kembali kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum akan datang, Raja Nong Chik berkata perkara itu terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan calon kerusi itu.

"Saya dah 25 tahun berpolitik di situ (Lembah Pantai), kalau nak bertanding, memanglah saya nak bertanding di situ," katanya.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata pihaknya akan membawa resolusi pada seminar itu ke Kabinet untuk diperhalusi termasuk syor diadakan pemeriksaan bersama antara DBKL dan JMB untuk mengenal pasti kerosakan di kawasan gunasama. - BERNAMA

Artikel Lain