suria

Anak Kapal Bot Tunda Dikhuatiri Lemas Selepas Bot Karam Di Pengerang

JOHOR BAHARU: Seorang anak kapal bot tunda dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama kaptennya mengalami kebocoran dan karam di kedudukan 2.3 batu nautika Barat Laut Tanjung Kapal, Pengerang Johor awal pagi Sabtu.

Kapten bot berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai setelah bot tunda Marine 24 mereka karam antara pukul 3 dan 4 pagi.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata anak kapal yang hilang dikenali sebagai Mohd Yazid, 20, manakala kapten bot dikenali sebagai Zainal Abidin berumur awal 30-an.

"Kedua-dua mereka dipercayai nekad terjun ke laut setelah mereka gagal mengawal kebocoran bot," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Wilayah Selatan menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tampoi lebih kurang pukul 8.20 pagi Sabtu. "Hasil maklumat itu, Maritim Malaysia telah mengerakkan dua bot laju ke lokasi yang dilaporkan," katanya.

Adon berkata usaha mencari dan menyelamat masih teruskan oleh pelbagai agensi terdiri daripada Maritim Malaysia, PGM serta pasukan bomba dan penyelamat.

"Sehingga pukul 4 petang ini, mangsa belum ditemui dan usaha akan diteruskan sehingga lewat petang ini dan jika belum ditemui, operasi akan disambung awal pagi esok," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain