suria

Najib Tiba Untuk Lawatan Rasmi Ke Myanmar

NAYPYITAW: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada Rabu untuk melakukan lawatan rasmi dua hari ke Myanmar.

Lawatan yang bertujuan meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara ini merupakan kunjungan pertama Najib ke Myanmar sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada April 2009.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan rombongan beliau, termasuk isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw pada 2.30 petang (4 petang waktu Malaysia).

Ketibaan Najib disambut Menteri Luar Myanmar Wunna Muang Lwin. Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke Myanmar Dr Ahmad Faisal Mohamed.

Perdana Menteri diberi sambutan rasmi di Pejabat Presiden Myanmar.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Myanmar U Thein Sein, para ahli perniagaan Myanmar dan anggota masyarakat Malaysia di Myanmar.

Rombongan Perdana Menteri termasuk 50 ahli perniagaan.

Anggota Kabinet yang turut menyertai rombongan beliau selain Anifah ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S. Subramaniam dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Myanmar mula terjalin pada 1957 dan kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat hasil kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknikal, pembangunan modal insan, perbankan, kewangan, pertahanan, pelancongan, perladangan, sukan dan penerokaan hidrokarbon. - BERNAMA

Artikel Lain