suria

Polis Tumpas Rangkaian Edar Dadah Dengan Penahanan Tiga Lelaki, Dua Wanita

JOHOR BARU: Polis menumpaskan rangkaian pengedaran dadah dengan tertangkapnya tiga lelaki dan dua wanita dalam tiga serbuan berasingan di bandar raya ini Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, ACP Kamarudin Abd Aziz berkata dalam serbuan pertama di Kampung Datuk Sulaiman Menteri di sini, polis menahan seorang lelaki berumur 36 tahun dan merampas 920 gram ganja bernilai RM2,200 daripadanya.

"Serbuan dilakukan pada pukul 4.15 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik. Lelaki yang sudah berkahwin dan bekerja sebagai jurujual kereta ini didapati positif dadah dan mempunyai satu rekod penyalahgunaan dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini Isnin.

Kamarudin berkata dalam serbuan kedua di Kampung Melayu Pandan kira-kira pukul 6 petang pada hari yang sama, polis menahan seorang lagi lelaki berumur 31 tahun dan merampas 1.98 kilogram ganja bernilai RM4,750 daripadanya.

Beliau berkata lelaki yang masih bujang dan bekerja sebagai mekanik motosikal itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya dalam serbuan terakhir di kawasan yang sama setengah kemudian, polis menahan seorang penghantar surat bersama dua wanita serta merampas 490 gram ganja bernilai RM1,200 daripada mereka.

"Polis turut merampas wang tunai RM3,100 dan satu komputer riba daripada lelaki berumur 25 tahun itu dan tunangnya yang berumur 21 tahun serta ibu wanita berkenaan yang berumur 50 tahun. Kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Kamarudin berkata ketiga-tiga rangkaian pengedaran dadah terbabit dipercayai dilakukan sejak setahun lepas dan ketiga-tiga lelaki serta dua wanita terbabit kini direman sehingga Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Lain