suria

Raja Nazrin Pengerusi Anugerah Merdeka

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah berkenan menerima jemputan untuk menjadi pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka.

Amanah Anugerah Merdeka dalam kenyataannya hari ini berkata perkenan Raja Dr Nazrin itu merupakan sumbangan yang amat besar ertinya ke arah kejayaan berterusan Anugerah Merdeka, yang disifatkan sebagai penghargaan terulung terhadap usaha menobatkan semangat kemerdekaan sebenar di negara ini.

Anugerah Merdeka dilancarkan pada 2007 oleh PETRONAS, ExxonMobil dan Shell sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia.

Ia diberi kepada individu dan/atau pertubuhan – dari Malaysia dan luar negara - yang sumbangan cemerlang mereka, memberi manfaat besar serta berkekalan terhadap Malaysia dan rakyatnya, tanpa mengira bidang.

Anugerah ini terbahagi kepada lima kategori: Pendidikan & Komuniti; Alam Sekitar; Kesihatan, Sains & Teknologi; Pencapaian Ulung Akademik; Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia (hanya terbuka kepada bukan warganegara Malaysia), dengan penerima bagi setiap kategori diberi hadiah RM500,000 serta trofi.-BERNAMA

Artikel Lain