suria

Puteri UMNO Serah Kepada Pimpinan Pusat Tentukan Jumlah Kerusi PRU

PENDANG: Pergerakan Puteri Umno menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi wakil pergerakan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata bukan hak beliau dan pergerakan itu untuk menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Puteri Umno pada pilihan raya umum nanti.

"Semuanya terserah kepada kebijaksanaan pimpinan pusat. Saya percaya pucuk pimpinan melihat perkara ini lebih-lebih lagi usaha-usaha menjurus kepada keupayaan 30 peratus wanita (untuk memegang jawatan tinggi).

"Kita tak mintak. Biarkan Presiden parti buat keputusan. Sekiranya pucuk pimpinan rasa ada pemimpin Puteri yg boleh diketengahkan sebagai tambahan kepada kerusi sedia ada, kita ucapkan Alhamdulillah. Ia satu pengiktirafan cukup bermakna kepada kita," katanya kepada kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Jentera Pilihan Raya Puteri Umno Negeri Kedah di sini hari ini.

Pada PRU ke-12, wakil Puteri Umno bertanding dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana calon mereka menang di kedua-dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN.

Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Naib Ketua Puteri Shahanim Mohd Yusoff dan Ketua Puteri Umno Kedah Datin Norashimah Md Nowar.

Sementara itu, Rosnah berkata bagi menghadapi PRU-13, pergerakan itu diberikan tugas teras untuk mengendalikan teknologi maklumat termasuk media alternatif.

"Pada PRU ke-12, kita (Umno dan Barisan Nasional (BN)) sedikit lalai, kita ignore perkara ini. Kita tidak mahu ulangi kesilapan sama, kita tumpukan untuk 'berperang' dengan pembangkang di alam siber. Kita dalam proses melatih penulis-penulis politik di kalangan ahli Puteri," katanya.

"Kita nak pastikan 1.4 juta golongan itu di seluruh negara berpihak kepada BN. Sehingga 19 Mac sudah lebih 300,000 ahli Puteri berdaftar sebagai pemilih daripada keseluruhan ahli 381,000.

Pada majlis terdahulu di JITRA, Rosnah memberi sokongan penuh terhadap Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan menolak desakan dan cadangan Naib Ketuanya Kamilia Ibrahim yang meminta supaya Shahrizat melepaskan jawatannya.

Beliau berkata jawatan itu merupakan jawatan yang dimenangi oleh Shahrizat dan ia merupakan mandat dan sokongan wanita seluruh Malaysia terhadap beliau.

"Saya kira apa yang menjadi fokus kami sebagai ketua-ketua sayap adalah persediaan ke arah menghadapi pilihan raya. Kita perlu melihat apa yang berlaku kepada Shahrizat sebagai cabaran kepada beliau sebagai pemimpin wanita dan saya selaku pemimpin Puteri merasakan cabaran ini tidak sesekali akan menyebabkan beliau patah semangat lebih-lebih lagi sokongan yang diberikan oleh wanita begitu fenomena sekali.

Semalam, dalam sidang media selepas Perhimpunan Wanita Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan Shahrizat kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Pada 11 Mac lepas, Shahrizat mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempohnya sebagai anggota Dewan Negara tamat pada 8 April namun beliau kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan BN.

Isu peletakan jawatan Shahrizat berbangkit apabila suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation didakwa menyalah guna peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek pengeluaran daging.-BERNAMA

Artikel Lain