suria

Anggota Trafik Maut Dirempuh Bas

JOHOR BAHARU: Seorang anggota polis trafik maut dirempuh sebuah bas pesiaran Singapura ketika sedang mengawal lalu lintas di persimpangan masuk bas Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) malam Khamis.

Koperal Ismayudin Ramli, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata ketika kejadian pada pukul 11.55 malam itu, anggota trafik berkenaan sedang menjalankan tugas kira-kira 200 meter dari laluan masuk bas dari Singapura ke Johor Baharu di kompleks CIQ itu bersama seorang lagi rakannya.

"Bas yang bernombor pendaftaran Singapura itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori, sebuah kereta dan penghadang jalan sebelum merempuh anggota kita," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga anggota polis itu di rumah mertuanya di Felda Taib Andak Kulai di sini, Jumaat.

Difahamkan selepas kejadian, bas yang dipandu wanita warga tempatan berumur 49 tahun itu cuba melarikan diri, tetapi ditahan 150 meter dari tempat kejadian. Mohd Mokhtar berkata wanita terbabit kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan awal polis mendapati pemandu wanita terbabit mempunyai satu saman atas kesalahan melanggar lampu isyarat.

Ketika mengunjungi keluarga anggota trafik itu, Mohd Mokhtar yang kesal dengan kejadian itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berjanji untuk menguruskan kebajikan keluarga itu.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya terutama pemandu bas agar berhati-hati ketika memandu dan tidak menggunakan jalan raya sebagai litar untuk berlumba.

Jenazah Ismayudin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak di sini pada pukul 12.30 tengah hari selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Nurussa'idah di felda itu.

Ismayudin yang berasal dari Felda New Zealand, Pahang, meninggalkan seorang balu Norsiah Md Amin, 47, dan lima anak berusia antara empat dan 24 tahun.

Anak sulung mangsa, Nor Farhana, 24, yang ditemui berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 2 pagi oleh seorang pegawai polis yang berkunjung ke rumah mereka.

"Ayah sempat membelikan kami sekeluarga makan malam selepas selesai solat Isyak," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain