suria

Sindiket Pemalsuan Dokumen & Agen Palsu 6P Tumpas

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen pendaftaran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Program 6P di sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Bangi, dekat sini, Isnin lalu.

Bertindak atas aduan orang awam, Unit Risikan Jabatan Imigresen yang diketuai oleh Timbalan Penolong Penguasa Thalhah Salleh menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki menyamar sebagai agen.

Dalam kenyataan di sini Rabu, jabatan itu berkata sebanyak 15 slip pendafataran PATI 6P telah dijumpai di premis berkenaan.

"Seorang wanita warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh turut disoal siasat dan diambil keterangan sebelum dilepaskan," menurut kenyataan itu.

Dalam satu operasi berasingan, Unit Risikan itu juga berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang menyamar sebagai agen yang menguruskan pengambilan pekerja asing untuk semua sektor di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, Selasa.

"Sejumlah 42 keping slip pendaftaran PATI, satu keping Slip Perakuan Kelulusan Program Pemutihan dan 13 keping pasport Bangladesh dirampas daripada lelaki tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain