suria

Ban Ki-Moon Tiba Untuk Lawatan Dua Hari Ke Malaysia

SEPANG: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon tiba di sini Rabu untuk lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada 1 Jan, 2007.

Ban, diiringi isterinya Ban Soon-taek, dan delegasi terdiri daripada pegawai kanan dan staf PBB tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 5 petang.

Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay. Menurut kenyataan Kementerian Luar, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan menganjurkan majlis makan malam sebagai meraikan pegawai tertinggi PBB itu pada malam Rabu.

Pada Khamis, Ban dijadual mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menghadiri majlis makan tengah hari anjuran pemimpin tertinggi Malaysia itu dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, di Seri Perdana di Putrajaya.

Jadual lawatan Setiausaha Agung PBB itu di Malaysia termasuk lawatan ke Pusat Latihan Pengaman Malaysia (MPTC) di Port Dickson, Negeri Sembilan dan menghadiri program di Institut Perubatan Respiratori di ibu negara sempena dengan Hari TB Sedunia.

Ban, yang berasal dari Korea Selatan juga dijadual menyampaikan syarahan khas bertajuk "Malaysia and the United Nations in a Changing World" di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di Kuala Lumpur.

Lawatan itu akan memberi peluang kepada Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB itu membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama Malaysia dan PBB, termasuk perkembangan terbaru di Timur Tengah dan usaha menggalakkan Pergerakan Kesederhanaan Global.

Ban dipilih semula secara sebulat suara oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun lepas sebagai setiausaha agung badan dunia itu sehingga 31 Dis, 2016. - BERNAMA

Artikel Lain