suria

Buruh Warga Indonesia Dijumpai Mati Di Ladang Kelapa Sawit

MARAN: Seorang buruh ladang warga Indonesia dijumpai mati dalam keadaan berlumuran darah di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Jengka 14, dekat sini petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Ahmad Johari Sahabuddin berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Marwan, 36, berasal dari Lombok dijumpai orang awam pada pukul 2.30 petang.

"Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada leher dan bahagian badan mangsa dipercayai akibat senjata tajam. Namun senjata yang digunakan tidak ditemui.

"Polis difahamkan mangsa baru setahun bekerja di ladang tersebut dan menerusi maklumat awam sebelum kejadian mangsa dipercayai keluar dengan beberapa rakannya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Susulan kejadian itu polis menahan tiga lelaki berumur antara 27 dan 35 tahun, manakala seorang lagi masih diburu bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain