suria

Kementerian Pelancongan Cadang Matta Fair Diadakan Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan mencadangkan kepada Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) supaya turut mengadakan Matta Fair di luar negara.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata cadangan itu dibuat berikutan kejayaan pameran berkenaan di negara ini.

"Mungkin dua kali setahun, jika sesuai, satu di Eropah dan satu lagi di Asia Tengah kerana cara ini boleh menarik pelancong dari negara lain untuk datang ke Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Matta Fair 2012 di PWTC di sini, Jumaat.

Pameran itu, yang diadakan hingga Ahad ini, dijangka menarik 90,000 pengunjung.

Dawos berkata tahun lepas, jumlah ketibaan pelancong di Malaysia meningkat 0.6 peratus kepada 24.7 juta orang berbanding 24.6 juta pada 2010 dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun ini.

"Peningkatan kecil ini mudah difahami kerana 2011 merupakan tahun penuh mencabar apabila banyak negara dilanda bencana alam dan ketidakstabilan ekonomi dan politik," katanya.

Kementerian itu menganggarkan Malaysia akan mencatat 36 juta ketibaan pelancong yang menghasilkan pendapatan RM168 bilion pada 2020.

"Kami yakin sasaran itu boleh dicapai kerana semua pemegang kepentingan dalam industri berkenaan semakin gigih berusaha untuk menghadapi persaingan sengit di rantau ini.

"Kita perlu sentiasa sedar bahawa persaingan untuk menarik pelancong dan wang melalui pelancongan semakin sengit tahun demi tahun dan oleh itu, kita perlu sentiasa berusaha dengan sedaya upaya untuk terus kekal dan tidak tercicir dalam persaingan ini," katanya.

Tourism Malaysia pada Jumaat mengedarkan brosur bertajuk Pakej Istimewa Cuti-cuti 1Malaysia bersempena penyertaannya dalam Matta Fair itu.

Brosur dalam Bahasa Melayu dan Inggeris itu yang dihasilkan dengan kerjasama 13 agensi pelancongan tempatan menawarkan 50 pakej produk pelancongan, antaranya merasai pengalaman bermalam di Muzium Melaka dan acara jejak pencinta seni. - BERNAMA

Artikel Lain