suria

Umno Terus Galak Ahli Daftar Sebagai Pengundi

PUTRAJAYA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha untuk menambah bilangan anggota Umno yang belum mendaftar sebagai pengundi akan diteruskan tanpa mengambil kira bila pilihan raya akan diadakan.

Pada pertemuannya bersama kepimpinan parti di peringkat negeri dan bahagian sebelum ini, kesemua pihak sudah diarah mempergiatkan usaha itu, katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha terkini Umno untuk mempergiatkan proses pendaftaran pengundi baru untuk pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diumumkan oleh Perdana Menteri. Kalau tak daftar, ini boleh membantutkan usaha menambah baik daripada segi kekuatan kita.

"Ini kerana kita sedar pilihan raya ini melibatkan angka. Jumlah itu amat penting bagi kita," kata Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, Khamis.

Pada 8 Feb ruarilepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata hampir 400,000 anggota Umno belum mendaftar sebagai pengundi.

Tengku Adnan berkata bagi menyelesaikan masalah itu, pihaknya menjalankan gerakan khas di peringkat Ibu Pejabat Umno untuk mengesan anggota yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Shafie juga berkata usaha untuk menambah bilangan anggota parti terutamanya generasi muda masih diteruskan di pelbagai tempat semasa program-program tertentu dijalankan termasuk di tempat bersukan atau di pusat beli belah. -BERNAMA

Artikel Lain