97,000 Pelarian Dan Pemohon Suaka Berdaftar Dengan UNHCR - Semasa | mStar

97,000 Pelarian Dan Pemohon Suaka Berdaftar Dengan UNHCR

KUALA LUMPUR: Kira-kira 97,000 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia, satu jumlah yang melebihi separuh daripada 149,000 penduduk Orang Asli di negara ini.

Jurucakap UNHCR Yante Ismail berkata sehingga Januari tahun ini, kira-kira 88,500 pelarian adalah dari Myanmar, terdiri daripada 34,400 etnik Chin; 23,000 Rohingya; 10,500 Muslim Myanmar; 4,600 Rakhine; 3,800 Mon; 3,300 Kachins dan bakinya beberapa etnik Myanmar lain menetap di negara ini.

"Terdapat kira-kira 8,200 pelarian dan pemohon suaka dari negara lain termasuk kira-kira 4,400 Sri Lanka; 1,000 Somalia; 770 Iraq dan 440 orang dari Afghanistan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata 71 peratus pelarian dan pemohon suaka adalah lelaki manakala 29 peratus adalah wanita dengan sejumlah 19,700 adalah kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.

Yante berkata tiada penempatan khusus seperti kem disediakan bagi menempatkan para pelarian serta pemohon suaka dan mereka tinggal berserakan serta boleh mendapat kemudahan informal di sektor pekerjaan dan mempunyai peluang untuk mencari nafkah hidup.

"Satu fakta penting di sini adalah pelarian ini bergerak bebas, mereka tidak berada di dalam kem dan boleh diperkasa untuk menyara hidup sendiri bagi menyesuaikan diri dan membina semula kehidupan secara bermaruah," katanya.

Menyedari bilangan pelarian yang tinggal tanpa kem penempatan khusus buat mereka di Malaysia, mereka juga secara tidak langsung terdedah dan mungkin terlibat dengan gejala sosial atau perlakuan jenayah bagi menyara kehidupan mereka.

Ditanya kemungkinan pelarian berkenaan terlibat dalam jenayah, Yante berkata: "Jika ada dakwaan jenayah yang berlaku melibatkan pelarian atau pemohon suaka, UNHCR berharap mereka dikenakan tindakan undang-undang seperti individu lain."

Baru-baru ini, polis menggagalkan cubaan menyeludup dadah dengan penahanan dua warga Myanmar yang mempunyai kad UNHCR di hadapan Plaza Kota Tinggi, Johor Baharu pada 23 Feb lepas.

Pada 22 Februari, polis berjaya menumpaskan kumpulan perompak terdiri daripada 16 warga Myanmar termasuk enam pemegang kad UNHCR di bandar raya Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

Artikel Lain