suria

Anak Temui Mayat Bapa Telah Reput

GEORGE TOWN: Seorang lelaki menemui mayat bapanya yang telah reput dalam rumah kedai barangan terpakai milik bapanya di Jalan Magazine awal pagi Isnin.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wan itu menemui mayat bapanya Wan Hock Pin, berusia 60-an, pada kira-kira pukul 1 pagi setelah pergi ke rumah bapanya yang tinggal seorang diri.

Katanya, beliau tidak menghubungi bapanya selama tiga minggu lepas kerana beranggapan bapanya pergi ke luar negara setelah tidak menjawap panggilan telefon sebelum itu.

"Saya fikir bapa tiada di rumah kerana ke luar negara (China dan Singapura) untuk melawat saudara mara kerana bapa sering ke sana. Lagipun setahu saya dia sentiasa sihat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mayat itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan tanpa berpakaian berhampiran tandas dan sebahagian tubuh badannya telah reput.

Beliau yang tinggal berasingan di Seberang Perai berkata sebelum itu, beliau tidak dapat memasuki rumah kedai bapanya kerana pintu terkunci dari dalam.

"Setelah mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menghubungi bomba untuk memecah masuk dan kemudiannya terkejut apabila menjumpai mayat bapa saya berhampiran tandas," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Superitendan Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa mungkin mati sejak tiga hingga empat minggu lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain