suria

Kenal Pasti Latar Belakang Sebelum Kahwin Warganegara Asing

GEORGE TOWN: Biro Perkidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang menasihatkan orang ramai yang ingin berkahwin dengan warganegara asing supaya mengenal pasti latar belakang terlebih dahulu bagi mengelakkan isu sosial.

Timbalan ketua biro itu Lim Thoon Deong berkata mereka perlu memastikan latar belakang sebelum perkahwinan kerana kebanyakkan warga asing berkahwin dengan penduduk tempatan demi mendapatkan visa dan permit kerja.

"Ramai warga asing berkahwin dengan penduduk tempatan demi mendapatkan kemudahan seperti hak untuk tinggal di sini atau bekerja, dan ini mewujudkan banyak masalah sosial," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Lim berkata biro MCA mengendalikan empat kes pasangan menghadapi masalah selepas berkahwin dengan warga asing melibatkan warganegara China, Vietnam dan Indonesia.

Dalam sidang akhbar itu, Lim berkata biro MCA kini sedang mengesan kedudukan isteri Lee Chin Guan, 46, yang merupakan seorang warganegara China kerana ingin menyelesaikan masalah.

Lee, yang bekerja di Johor Baharu, ingin berjumpa dengan isterinya untuk berbincang mengenai proses penceraian kerana tidak sanggup lagi bertahan dengan masalah yang ditimbulkannya.

"Saya telah membuat dua laporan polis pada tahun lepas kerana saya ingin buat tuntutan perceraian dan tidak mahu bertanggungjawab atas dirinya lagi," katanya.

Lee terkejut melihat gambar isterinya di dalam sebuah akhbar Cina bertarikh 29 Disember, 2011 yang melutut atas jalan raya di Jelutong dengan niat membunuh diri dan mendakwa seorang lelaki telah menipu wang dan mengambil pasportnya.

Lee dan isterinya Lei Zhiduo, 46, dari Jiangxi, China berkahwin pada 26 Mei 2010 dan mendakwa selepas empat bulan, isterinya sentiasa menimbulkan masalah seperti membuat aduan diabaikan suaminya dan sentiasa berhubung dengan lelaki lain. -BERNAMA

Artikel Lain