suria

Siasatan Kes Himpunan Hijau 2.0 Selesai

GEORGE TOWN: Polis telah menyerahkan dua kertas siasatan berhubung kekecohan pada Perhimpunan Hijau 2.0 di Padang Kota Lama 26 Februari lepas kepada pihak pendakwa raya hari ini bagi tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata polis mengambil keterangan daripada 48 saksi bagi melengkapkan siasatan terhadap kes itu yang turut mengakibatkan dua wartawan cedera.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah serta Seksyen 143 dan 147 kanun yang sama iaitu atas kesalahan merusuh dan berhimpun secara haram, katanya kepada pemberita, di sini.

Ayub berkata polis telah menerima 31 laporan daripada orang awam dan menganalisis 20 rakaman video mengenai insiden perhimpunan itu.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, wartawan dan jurugambar akhbar berbahasa Cina Kwong Wah Jit Poh, Adam Chew, 29, dan Lee Hong Chun, 25, cedera di badan dan kepala dipercayai akibat dikasari ketika bergelut dalam kekecohan itu.

Perhimpunan yang disertai hampir 1,000 orang itu diadakan sebagai membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Pahang. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain