suria

Dua Lelaki, Seorang Wanita Ditahan Bantu Siasatan Kehilangan Kanak-Kanak Perempuan

JOHOR BAHARU: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan di kawasan rumahnya, di Flet Seri Delima, Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki dan wanita berumur 36 hingga 40 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak terbabit, Nurul Nadirah Abdullah, 5, pada hari yang sama.

"Ketiga-tiga mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan polis kini sedang berusaha mengesan kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Isnin.

Mohd Mokhtar berkata setakat ini polis sudah melakukan pemeriksaan di 20 lokasi sekitar daerah ini bagi mengesan kanak-kanak itu namun masih belum menemuinya dan mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang.

Nurul Nadirah atau dikenali sebagai Dira disedari hilang oleh keluarganya selepas kanak-kanak itu keluar membeli mi segera kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan flet berkenaan.

Dia yang membawa RM4 bersama sekeping nota bertulis mi segera dan telur RM2 ke kedai di blok bersebelahan didapati tidak pulang selepas kira-kira setengah jam keluar dari rumah.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata polis sudah membuka kertas siasatan kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang cedera selepas terjatuh dari motosikal yang didakwa akibat ditendang seorang anggota sukarelawan polis, di Sagil, Ledang, Sabtu lepas.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah sedang melakukan siasatan terperinci mengenai kes tersebut selepas polis menerima empat laporan mengenai kejadian itu daripada bapa remaja terbabit dan anggota polis berkenaan.

"Laporan polis yang dibuat bapa remaja terbabit mendakwa rakan anaknya melihat anggota polis itu menendang mangsa yang tidak memakai topi keledar lalu jatuh dari motosikal manakala laporan anggota polis terbabit pula mendakwa remaja itu terjatuh akibat kemalangan selepas motosikal mereka bertembung.

"Kita mempunyai dua versi mengenai kejadian itu dan sehubungan itu saya sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah melakukan siasatan dengan segera," katanya.

Mohd Mokhtar berkata remaja berkenaan kini dirawat di Hospital Melaka dan polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian terbabit. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain