suria

Balu Allahyarham Habibullah Terima Pampasan Insuran Berkelompok

KAJANG: Keluarga allahyarham Lt Kol Habibullah Ismail yang meninggal dunia akibat sakit jantung semasa bertugas sebagai Pegawai Staf Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan menerima pampasan insuran berkelompok RM230,000 daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penyerahan cek itu serta cek sumbangan tabung khairat kematian bernilai RM2,000 disempurnakan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Aidin kepada balu allahyarham, Maryani Mahadzir.

Zulkifli berkata dua lagi sumbangan iaitu daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Tabung Pertahanan Negara akan disampaikan dalam waktu tempoh sebulan lagi.

"Diharapkan dengan sumbangan itu dapat meringankan beban isteri allahyarham untuk membesarkan anak-anak," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Sementara itu, Maryani yang ternyata masih sedih dengan kehilangan suaminya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan ATM yang tidak putus-putus bertanya khabar dan mengambil berat tentang keluarganya.

"Duit itu akan saya gunakan untuk keperluan pendidikan anak-anak," katanya yang juga tidak akan menghalang sekiranya ketiga-tiga anaknya ingin mengikut jejak langkah ayahnya menjadi anggota tentera.

Maryani, 40, yang kini bertugas di Unit Protokol, Kementerian Kesihatan di Putrajaya, berkata beliau kini dalam proses memohon pertukaran tempat bertugas ke kampung halamannya di Jitra, Kedah.

"Kalau di sana dekat dengan keluarga dan keluarga mentua jadi senang untuk saya kalau ada berlaku apa-apa dan mudah untuknya menziarahi pusara allahyarham," kata ibu kepada Muhammad Hilman Hafiz, 13, Muhamad Haziq Haikal, 9, dan Mirza Hadeerah, 6.

Allahyarham Habibullah, 42, meninggal dunia pada 6 Feb lepas, di Hospital Jabal Amel, Tyre, Lubnan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambak Bunga, Alor Setar. - BERNAMA

Artikel Lain