suria

Karpal Fail Rayuan Semak Keputusan

PUTRAJAYA: Peguam Karpal Singh memohon Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan mahkamah itu yang telah memerintahkannya membela diri atas tuduhan hasutan dan antara alasan yang diberikannya termasuk terdapat "coram failure" kerana salah seorang hakim dalam panel itu tidak fasih dalam Bahasa Malaysia.

Notis usul itu difailkan olehnya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini, Khamis.

Dalam afidavitnya yang difailkan bersama-sama dengan notis usul itu, Karpal Singh menyatakan bahawa kemungkinan besar terdapat kegagalan keadilan daripada segi "coram failure" kerana hakim Datuk Clement Allan Skinner yang berada dalam panel tiga hakim itu tidak fasih dalam Bahasa Malaysia.

"Oleh itu terdapat keraguan berkenaan sama ada ataupun tidak beliau (Hakim Clement) memahami dan bersetuju dengan kandungan penghakiman yang ditulis dan disediakan oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop dalam Bahasa Malaysia.

Karpal memohon Mahkamah Rayuan menggunakan "kuasa yang ada padanya" untuk membuat perintah supaya keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bertarikh 20 Januari lalu disemak dan diketepikan dan rayuan pendakwaan didengar semula oleh koram Mahkamah Rayuan yang lain.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Maarop yang mempengerusikan panel tiga hakim sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan Karpal Singh, 71, membela diri atas tuduhan menghasut.

Beliau (Ahmad Maarop) telah mengemukakan penghakiman bertulis setebal 105 muka surat dalam Bahasa Malaysia.

Panel hakim berkenaan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang telah melepas dan membebaskan Karpal Singh tanpa memerintahkannya membela diri terhadap tuduhan mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara pukul 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari, 2009.

Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di dalam permohonannya itu, Karpal Singh juga memberikan alasan bahawa panel hakim itu telah bertindak melampaui bidangkuasa rayuan apabila memutuskan berhubung keperlembagaan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 yang menetapkan bahawa tindakan mempersoalkan hak dan keistimewaan Raja adalah satu kesalahan.

Beliau juga menyatakan tindakan pendakwaan mengemukakan hujahan berhubung Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan pada peringkat rayuan telah memprejudiskannya kerana beliau tidak boleh membangkitkan persoalan keperlembagaan seksyen berkenaan di peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi malah membuat permohonan merujuk persoalan keperlembagaan seksyen itu di Mahkamah Persekutuan.

"Dengan membuat pencarian spesifik bahawa Seksyen 3(1)(f) adalah berperlembagaan maka saya sudah hilang peluang untuk membangkitkan isu ini di Mahkamah Tinggi pada peringkat pembelaan memandangkan hakim Mahkamah Tinggi adalah terikat pada pencarian tersebut," kata Karpal Singh dalam afidavitnya.

Katanya tujuan hujahan-hujahan ringkas dikemukakan di Mahkamah Rayuan semasa pendengaran rayuan adalah untuk menunjukkan bahawa wujudnya isu keperlembagaan yang boleh didirikan dan bukannya sebagai isu substantif yang perlu diputuskan oleh panel Mahkamah Rayuan itu.

Karpal Singh berkata tindakan hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang memutuskan isu mengenai Seksyen 3(1)(f) pada dasar substantif adalah tidak sah dan di luar bidang kuasa mereka dan tidak boleh dipertahankan di dalam undang-undang. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain