suria

Najib Mahu Masyarakat Akar Umbi Nikmati Hasil Inovasi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam langkah negara menjana kekayaan melalui pengkormesialan dan inovasi, usaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di peringkat akar umbi tidak seharusnya dilupakan.

Perdana Menteri berkata inovasi perlu dilihat dalam konteks usaha pembasmian kemiskinan, meningkatkan mutu kesihatan awam, kemajuan dalam bidang pertanian dan sebagainya.

"Ini juga ada kaitan dengan hasrat kita untuk membangunkan kawasan desa dan luar bandar berdasarkan pada model baru yang seimbang dengan keadaan abad ke-21," katanya semasa berucap sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara di sini, Selasa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata peranan sains dan teknologi amat penting bagi menambah nilai produk-produk inovasi yang boleh dihasilkan oleh masyarakat akar umbi.

Dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, Perdana Menteri berkata terdapat kemestian bagi mengimbangkan pelaburan dalam bidang penyelidikan asas dengan kehendak pasaran, umpamanya dengan sasaran awal pada nisbah 50-50.

"Bagi mencapai sasaran tersebut kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan dengan industri perlu diperhebat serta dipertingkatkan selaras dengan kehendak model inovasi negara," katanya.

Najib berkata adalah penting untuk mengimbangkan kemajuan sains dan teknologi dengan sains sosial kemanusiaan dalam agenda pembangunan negara, untuk mengelak kemudaratan kepada negara.

"Pendekatan holistik perlu diambil bagi memastikan pengingtegrasian bidang sains dan teknologi dengan sains sosial dan kemanusiaan supaya dapat melahirkan insan-insan yang seimbang dan mampan," katanya.

Beliau menyambut baik usaha-usaha terkini untuk menganjakkan inovasi negara seperti jalinan kerjasama dengan negara jiran di peringkat Asean, penyertaan dalam Triti Antartika, inisiatif Segitiga Terumbu Karang dan kerjasama dengan institusi penyelidikan tersohor dunia.

"Diharapkan inisiatif yang diambil akan membantu tingkatkan kedudukan tahap daya saing negara," kata Perdana Menteri.- BERNAMA

Artikel Lain