suria

Tiga Penjenayah Mati Ditembak Selepas Samun Kedai Emas Di Banting

BANTING: Polis menembak mati tiga daripada lima penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang, pistol serta tukul dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Sultan Abdul Samad di sini, petang Jumaat.

Dua lagi penjenayah berjaya melarikan diri dan kini diburu polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata sebelum kejadian berbalas tembakan, penjenayah terbabit menyamun sebuah kedai emas di sini dalam kejadian kira-kira 1.05 petang.

Beliau berkata empat suspek dipercayai memecahkan cermin pameran dan merampas barang kemas bernilai lebih RM150,000 manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di luar premis berkenaan.

"Sebaik menerima laporan, polis terus mengejar kelima-lima suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios sejauh tiga kilometer sebelum kereta itu berhenti di Jalan Tali Air di sini, dipercayai mahu menukar kereta lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kumpulan penjenayah terbabit melepaskan empat das tembakan ke arah polis sebelum polis dapat menembak mati tiga daripada lima penjenayah berkenaan.

"Kami menjumpai separuh barang kemas bersama seorang suspek yang mati dan separuh lagi di dalam kereta berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Polis turut menemui dua pistol, parang, tiga peluru serta tiga kelongsong peluru di tempat kejadian dan dipercayai digunakan ketika rompakan.

Mohd Adnan berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang berumur antara 26 dan 28 tahun itu berasal dari Segamat, Rompin, dan Banting, serta mempunyai beberapa rekod jenayah iaitu samun dan dadah.

Siasatan juga mendapati kereta Toyota Vios yang digunakan mereka adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kelana Jaya pada 22 Feb lepas, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain