suria

Perbicaraan Kes Dua Kakitangan Tabung Haji Bermula 25 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Khamis menetapkan tiga hari bermula 25 April, untuk perbicaraan kes juruanalisis sistem, Jabatan Teknologi Maklumat, Lembaga Tabung Haji, Afizul Md Yasin, yang dituduh membuat pengubahsuaian kandungan pangkalan data sistem haji, dua tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Arifin turut menetapkan tarikh yang sama terhadap kerani di Lembaga Tabung Haji, Roslan Mohamed Som, yang menghadapi tuduhan rasuah apabila kedua-dua kes berkenaan disebut di hadapan beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil 15 saksi.

Pada 9 Februari lepas, Afizul, 34, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan membuat capaian ke pangkalan data Tabung Haji dan memasukkan rekod nama 27 jemaah haji menggunakan program komputer tanpa kuasa yang mana perbuatan itu akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan sistem haji Lembaga Tabung Haji.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 13, Jabatan Teknologi Maklumat, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, antara 10.55 pagi dan 11.10 malam, pada Jun dan Julai 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Roslan, 47, turut mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM6,750 sebagai upah untuk menolong menguruskan 27 jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada tahun 2010 bersamaan 1431H, supaya dapat pergi menunaikan haji pada waktu itu.

Dia yang bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Tabung Haji, dituduh menerima wang itu daripada perantara, Samsudin Ibrahim di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini antara 3.30 petang dan 4 petang, 15 Julai 2010.

Roslan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Afizul diwakili peguam Imam Abu Sa'id Nahrawi manakala Roslan diwakili peguam Rusli Zain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain